Rencana Allah, Kemudian Rencana Kita

Bismillahirrahmanirahim

 

Ogos 2016.

Purnama yang banyak meninggalkan palitan warna atas kanvas hidup kami sekeluarga.

Ada warna kegembiraan dan keterujaan.

Ada warna kesedihan dan kemuraman.

Ada warna ketakutan dan kebimbangan.

Pelbagai perasaan berkecamuk dalam satu jiwa.

 

Pada lazimnya, keluarga kecil saya ini akan mula merencana aktiviti  keluarga pada awal bulan. Oncall baba, locum ummi, kursus, usrah, kenduri,CME dan percutian keluarga akan direncana sebaik mungkin supaya sekurang-kurangnya kami dapat melalui sepurnama itu dengan tersusun. Malah, kami turut merencanakan belanjawan keluarga bersiap dengan bajet yang cukup tersusun.

Jadi purnama Ogos itu menyaksikan kami berkursus di luar daerah selama 2 kali , meninggalkan anak, oncall suami 7-8 kali sebulan serta tidak lupa keterujaan saya untuk menghadiri mukhayyam tarbawiy peringkat negeri.

Itu rencana kami.

Bukan rencana Tuhan.

home2bexecutive2bopen

Tidak siapa yang menyangka selang sehari selepas pulang daripada konferens FMS di Selangor,  pada tanggal Subuh 15 Ogos , ketika saya dan anak hanya berdua dan suami oncall, Allah telah mengizinkan perompak untuk menceroboh rumah kami. Hati ibu mana tidak bergoncang ketika sibuk menyiapkan keperluan anak ke taska, mata menangkap kelibat lelaki asing di ruang tamu tatkala anak hanya berada beberapa inci daripada penjenayah.

Segenap jiwa saya menjerit. Bukan jeritan ketakutan.

Tetapi jeritan demi menyelamatkan nyawa , maruah dan harta.

Dalam jeritan itu, ada keberanian, ada kebencian atas pencerobohan yang dilakukan.

Saya meluru ke arah si penceroboh dengan penuh kemarahan.

Ada dendam di situ.

Demi Allah, saya hampir lupa risiko ditikam, dirogol atau dibunuh.

Hanya ada satu fokus saya, iaitu satu-satunya anak saya yang sedang tidur.

Sekali lagi Allah maha penyelamat.

Dialah yang mengarahkan hati si penceroboh untuk menjadi takut.

Dialah yang menghalang tangan si penceroboh itu untuk mengeluarkan senjata.

Dialah juga yang menggerakkan kaki si pencoboh untuk lari , melompat pagar dalam keadaan tergesa-gesa.

Criminal with Knife

Ya Allah, ini adalah nikmat keselamatan yang entah keberapa , aku sendiri tidak terhitung.

Seluruh badan menggigil mengingatkan sejarah hitam ini.

Saat hati ini sering jauh daripadamu, engkau masih sudi hadir menyelamatkanku.

Entah aku layak atau tidak menerima kurniaanMu ini.

Dalam keterlenaanku menghambakan diriku, Engkau masih lagi memberikan kesempatan.

Aku tidak tahu, jika nanti aku memerlukan bantuanMu di alam barzakh nanti, Engkau masih sudi mendengar rintihanku.

Ya Tuhan, ampunkan Aku.

 

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَتَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ الإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ (إبراهيم: 34)

“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)”. (Ibrahim: 34)

 

————————————————————————–

Minggu itu minggu yang amat menduga.

Satu demi satu ujian silih berganti.

Dalam jiwa masih disalut ketakutan dan insecure, saya masih lagi gagahkan diri untuk ke kerja. Menjalani rutin seperti biasa dalam hati dan minda yang masih trauma. Jujurnya saya tidak lagi mahu menjejakkan kaki  ke rumah itu. Sebolehnya, mahu berpindah pada saat itu juga.Namun tugas saya sebagai doktor tidak boleh saya tinggalkan sewenang-wenangnya. Ada hak lain yang perlu dilunaskan.

Sudah menjadi lumrah penjawat awam, sama ada kita sedang bermasalah atau tidak, saya perlu menghadap kebanjiran pesakit. Sekali lagi, Allah menguji saya dengan lambakan pesakit yang tidak sabar menunggu rawatan, marah-marah, dan ada yang membuat aduan kepada pihak atasan.

“Lambatlah doktor ni! Saya dah tunggu berapa jam ni!” (saya bersangka baik, mungkin mereka tidak tahu, saya telah pulang jam 11 malam pada hari itu , memandu seorang diri dalam keadaan kelibat perompak masih segar dalam kotak fikiran saya)

“Doktor, apasal anak saya bawah 2 tahun, tapi dapat nombor sama macam pesakit dewasa?” (walhal bukan tugas saya yang memberi nombor, dan saya tidak tahu adanya pesakit kanak-kanak sedang menunggu, tetapi kemarahan dimuntahkan kepada saya)

Masih segar dalam ingatan saya, tidak ada satu tona suara pun saya tinggikan tatkala saya dituduh bukan-bukan dan dimarahi. Iman saya masih ampuh untuk menahan sabar.

“Sudahlah! Saya nak buat aduan”, bentak seorang pesakit.

Dengan segala hormat, saya mempersilakan. Saya tidak menghalang kerana saya tahu kejadian ini berlaku bukan semata-mata kesalahan doktor. Saya percaya, ada banyak pihak yang telah menyumbang ke arah lambakan pesakit dan ada sistem yang perlu diperbaiki. Malah saya telah berunding dengan cara yang baik. Tetapi nampaknya kesabaran beliau sudah tiada sempadan lagi.

Jika komplen datang daripada staf paling junior, mungkin impak tidak sebesar mana.

Namun, jika komplen datang daripada pesakit yang penuh amarah, mungkin ada tindakan pembaikan yang akan diambil segera.

Ketika saya menerima dan menjawab surat komplen tersebut, sedikitpun saya tidak kesal. Kerana saya berasa bersyukur, pesakit yang membuat aduan tersebut telah menyalurkan aduan melalui saluran yang betul dan beliau tidak hanya menyalahkan doktor semata-mata. Setiap ruang kelemahan bermula di kaunter , pemberian nombor, kecekapan staff membantu doktor yang sangat struggle keseorangan di dalam bilik juga turut disentuh. Keberanian saya yang seolah-olah mengalu-alukan aduan untuk dibuat juga disebut. Namun seperti mana yang saya tegaskan, saya memang tidak gentar jika aduan ingin dibuat jika saya di pihak yang benar.

Ketahuilah,sedikitpun saya tidak pernah mencabar pesakit untuk membuat aduan, tetapi jika itu dalan terbaik untuk memperbaiki sistem giliran pesakit di sektor kerajaan, saya sangat berlapang dada dan professional.

Saya redha jika hikmahnya adalah untuk menjadikan saya seorang perawat yang lebih baik.

Moga Allah masih sudi menjaga saya.

========================================================

Semalam, saya masih menerima berita yang menyedihkan untuk keluarga kami.

Bapa saudara saya yang diserang serangan jantung bersama komplikasi paru-paru masih lagi koma dan oxygen saturation semakin merosot walaupun diberi bantuan oksigen SIMV. Buah pinggang mula terganggu . Kini pihak doctor telah mengeluarkan pengisytiharaan NAR (not for resuscitation) di mana mereka tidak akan lagi memberikan bantuan CPR jika jantung terhenti.

Innalillahiwainnailaihi rajiiunn.

Moga kita semua kembali kepada Allah dalam kesudahan yang hasanah.

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ {155} الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

“Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.  (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”[101]. (Al Baqarah: 155-156)

======================================================

Ah, seringkali kita terlupa !

31 Ogos 2016

Hari ini adalah penyudah kepada Ogos 2016.

Tidak mungkin ia akan berulang kembali.

Seribu satu ibrah yang telah dihamparkan dalam episode hidup saya sepurnama ini.

Persoalannya adakah saya mengambil iktibar dan memperbaiki kualiti kehambaan diri?

Apa khabar dengan ibadah wajib dan sunat?

Apa khabar dengan  buku catitan rakib dan atid?

Apa khabar dengan graf dosa dan pahala?

Sepertimana yang saya coretkan pada awal tulisan ini, pelbagai rencana sudah diaturkan untuk melalui bulan Ogos ini, namun nampaknya rencana itu tidak sempurna.

Ada masa, kita telah berusaha bersungguh-sungguh, sepenuh tenaga, memikirkan semua perancangan dan strategi, namun tidak juga berjaya. Resah dan gelisah kita, tertanya-tanya mengapa kita tidak dapat maju ke hadapan, sedang semua persediaan sudah amat rapi.

Rupa-rupanya, ada satu perkara yang kami lupa.

doa-doa-dari-nabi-saw-untuk-memulihkan-penyakit

Ahh..kami terlupa untuk berdoa.

Berdoa sebenarnya tidak menjamin kita mesti mendapat seperti apa yang kita doakan. Ianya bukan semata-mata bertujuan untuk kita mendapat apa yang kita doakan, tetapi lebih kepada menyedarkan diri kita bahawa kita ini hanyalah hamba yang kerdil dan lemah. Maka hamba yang lemah ini, sepatutnya menyandarkan dirinya kepada Yang Maha Kuat.

Setelah berusaha dan berdoa, rasa resah dan gelisah akan bertukar dengan rasa sangka baik kepada Yang Maha Kuat. Kita tahu, Dia berupaya memakbulkan doa kita, dan sesungguhnya Dia sangat tahu apa yang baik buat kita. Jikalah apa kita hajatkan tidak tercapai sekalipun, selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh, kita faham, itu bukanlah untuk kita. Kita bersangka baik dan yakin bahawa ada sesuatu yang lebih baik buat kita, sedang Allah SWT sediakan.

 

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir ayat 60.

 

===============================

Itulah rencana Allah.

Maha sempurna.

Dia mendatangkan ujian untuk menampung kelemahan dalam kepincangan kita merencana.

Rencana Allah, kemudian rencana kita.

 

 

Ummul Fateh

31 Ogos 2016

*Tulisan ini dihasilkan melalui rasa hati , kekerdilan dan keinsafan diri yang penuh noda.

Juga diinspirasikan daripada teguran halus ayat cinta Al Quran serta tulisan penuh hikmah oleh Salim A Fillah (Jalan Cinta Para Pejuang).

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s