AYAH

Assalamualaikum and Salam Sejahtera.

winter-images-1.jpg
credit

Sangat sedih apabila mendengar berita yang hangat di Johor Bahru, baru-baru ini mengenai 8 anak maut ketika berbasikal dirempuh oleh sebuah kereta di pusat bandar.

Ketika berita yang sangat rancak, hangat di media massa, malah mendapat perhatian Sultan Johor pada waktu itu sehingga baginda sultan mencemar duli datang menziarahi keluarga yang telah kehilangan permata mereka; bertambah-tambah sedih hati ini apabila hari itu juga di Kulai, Johor sedang berlangsung bersama-sama ibu bapa, guru-guru, anak-anak murid, dan orang awam iaitu satu program yang besar mengenai Lindungi Diri & Keluarga daripada Pedofilia, Pornografi dan Jenayah Siber #kamipeduli.

Manakan tidak, meskipun program itu menfokuskan tentang isu hangat sejak beberapa tahun yang lepas, tetapi pokok dan dasar kepada satu masalah yang melibat isu-isu itu adalah berpangkal daripada isu pendidikan awal anak-anak dalam mengharungi dunia yang sudah sarat dan tenat dek masalah dan jenayah baik daripada apa yang kita nampak, malah, yang kita tidak nampak, terselindung, senyap-senyap seperti melibatkan alam siber ini, sudah menggerunkan.

Bukan nak menyalahkan sesiapa, bahkan semua ini mesti di ambil pengajaran dan sedar akan peranan pendidikan sejak anak dilahirkan lagi tanpa ada mengeluh dan putus asa. Dunia berubah, tetapi pendidikan hendaklah dengan komitmen yang mantap bagi mencegah di mana ia adalah usaha yang tiada erti lelah, kerana itu adalah yang terbaik; berbanding merawat apabila masalah itu sudah menular seperti wabak, kerana keadaan demikian sudah begitu rumit di kawal.

“Biar dia menangis, jangan kita menangis.” Itulah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semasa baginda menziarahi ibu bapa mangsa pada 18hb Februari 2017, dan menyatakan sedihnya baginda dengan insiden tersebut serta nasihat untuk memantau dan menjaga anak-anak tidak keluar pada waktu malam.

Terdapat kata-kata Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dahulu pernah mengingatkan,

“..ingin kita mengingatkan bapa-bapa sekalian, jangan kerja penat macam lembu tetapi anak hisap dadah. Kita jaga anak kita pukul dia kalau tidak ikut cakap, biar dia menangis hari ini, jangan kita menangis kemudian hari..”

Dalam kedua-dua kenyataan tersebut, terselit nilai pendidikan sejak awal, mencegah daripada masalah sosial dari akar umbi; jika tidak, hasilnya akan membuatkan hati punah mencurahkan air mata yang tidak memberi kesan apa-apa dek mengambil enteng dalam pendidikan dan pencegahan.

Pengalaman Sendiri.

Aku bukanlah malaikat yang sentiasa baik, bahkan bukanlah iblis yang sentiasa jahat. Namun, aku seorang insan yang setakat ini Allah subhanahu wa taa’la hidupkan sehingga usia 29 tahun ini, banyak dosa yang telah aku lakukan.

Aku bukanlah datang daripada keluarga yang serba berilmu. Ibuku seorang suri rumah, ayahku seorang polis.

Aku suka belajar, tetapi kuat bermain juga. Rakan-rakan ada, dan mereka juga menjadi salah satu sumber mewarnai hidup aku.

1. Ketika kecil, selepas solat isyak di surau, terus aku mengikuti kawan untuk melihat satu pertunjukan di taman, ia lebih kepada mempromosikan barang mereka, tetapi dengan pertunjukan yang pelik-pelik. Budak-budak memang suka termasuk aku. (Bila difikirkan sekarang, ia adalah lawak dan khurafat) Itu yang membuatkan aku lewat pulang rumah sehingga larut malam. Sampai di rumah, aku dapati pintu sudah berkunci, aku merayu kepada ibuku untuk dibuka pintu, meskipun aku dapat masuk ke rumah, tetapi aku disebat dengan rotan, menangis-nangis meminta ampun dibuatnya, kerana tindakan aku itu tidak betul dan membuatkan orang tua risau kalau-kalau perkara tidak baik tidak berlaku.

2. Semasa sekolah rendah, aku tertarik ke cyber cafe. Kawan yang ajak. Sebab apa? Sebab ada game i.e counter strike, half-life. Tapi, ketika itu ada game :  adventure yang aku teramat minat, iaitu Diablo II. Tapi, aku takut nak keluar malam nanti kena rotan, jadi minta izin dengan ayah : “yah, nak pergi cyber cafe”. “Ha? mamak cyber?” “Tak, cyber cafe, sejam je, pukul 8 malam, pergi dengan hafiz, nak main game.” Tak ku sangka, dapat kebenaran pula waktu itu, ayah bagi duit juga utk bermain game selama sejam. Aku pergi dan balik sebelum 10 malam. Ok, tiada apa-apa masalah.

3. Pada suatu hari ketika waktu seawal 10 pagi, ibu ku menyuruhku membeli parut kelapa di kedai runcit untuk di masak. Aku mengambil peluang dengan meminta izin ke cyber cafe. Ibu benarkan, tetapi dinasihatkan untuk tidak lewat pulang. Malangya, dengan keghairan, keindahan dan nikmatnya game, aku betul-betul lewat sehingga matahari sudah di atas kepala dan dah masuk Zohor. Aku cepat-cepat beli parut kelapa, dan pulang dan mendapati ayahku sudah dalam keadaan marah dan memukulku. Aku menangis dan bermuhasabah.

4. Waktu sekolah rendah, memang dah jumpa dah kumpulan basikal coper dan BMX. Mereka akan berkumpul dan lakukan aktiviti mereka. Macam mana boleh kenal? Sebab mereka pun ke cyber cafe. Siap di “invite” lagi untuk join kumpulan mereka. Waktu itu mula berminat untuk ada basikal sendiri. Tetapi ayah sengaja melewatkan permintaanku. Lewat juga aku belajar tunggang basikal, dalam darjah 5 begitu baru aku pandai, pinjam basikal kawan, belajar sendiri turun bukit 2-3 kali, terus dapat imbang badan dan dapat tunggang basikal dengan baik. Tetapi disebabkan tiada basikal sendiri, apabila sudah lama, kemudian timbul alasan untuk berbasikal ke sekolah agama, akhirnya dapat juga, tetapi sudah tidah berminat menyertai kumpulan basikal ketika itu.

5. Sudah masuk sekolah menengah, teringin pada motosikal. Padahal tidak cukup umur lagi. Ayah sangat tidak bersetuju dan melarang untuk menunggang motosikal. Dia memberi alasan dengan tegas masalah remaja yang bermotosikal yang mengundang kepada kemalangan dan meragut nyawa. Jadi, aku memang tidak bermotosikal. Ayahku berulang-alik ke sekolah dengan kenderaanya sama ada kereta atau motosikal tanpa jemu dan merungut. Sudah masuk tingkatan 4 & 5, masuk Sek Men Sains Muar iaitu asrama penuh, memang tak fikir tentang motosikal. Sudah menduduki SPM, cuti panjang, ibu minta ayah ajar aku bermotosikal. Secara jujurnya aku memang sudah belajar dan tunggang motosikal sendiri, tapi aku tekad dan membuat keputusan, “tak nak lah naik motor, lebih prefer naik basikal, kalau ada lesen kereta, naik kereta sahaja.” Sejak hari itu, sampai sekarang aku memang dah tak pandai tunggang motosikal dan aku tidak menyesal.

Ayahku bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Tetapi tindakan dan alasan dia mendidik aku ketika itu memberi kesan yang positif pada diri aku pada kemudian hari.

Ketika aku di asrama penuh, seorang warden dan dia juga berjawatan guru penolong kanan, memeriksa almari ku. Dia tidak kenal siapa ibu bapaku, tetapi dia terus bertanyaku, “bapa awak polis ya?”. “Ya, cikgu.” Ini kerana, katil dan almariku yang tersusun dan kemas; terima kasih kepada ayahku yang cerewet dengan mengemas rumah kadang-kadang mengemas sehingga teralihnya barang-barang sampai susah nak cari, kadang-dia dia pun terlupa.

Kesimpulannya, Pendidikan! Pendidikan! Pendidikan! sejak awal lagi. Atau nama lain : “Tabiyah! Tarbiyah! Tarbiyah!” sejak dari rumah lagi. Meskipun ada kekurangan ilmu mendidik anak, maka carilah ilmu. Tiada isitilah berehat untuk “mendidik”, adapun anak itu kecil atau sudah pun dewasa. Sabar adalah kunci kepada berterusannya pendidikan ini.

[20hb Februari 2017 – genaplah setahun perginya ayahku menghadap ilahi pada 20hb Februari 2016]

Abu Fateh

23 Jamadil Awal 1438H / 20 Februari 2017M

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s