Bintang inspirasi.

 

Oktober  2015

“Ayah, kereta abang kena langgar, habis remuk, banyak juga nak kena bayar”.

Suatu hari,saya mengadu pada ayah melalui whatssap. Saya adalah menantu pertamanya. Namun saya memang rapat dengan ayah. Mungkin ayah rajin mengirim pesanan dan menelefon bertanya khabar.

Dan saya pula jenis outgoing sepertinya , jika saya merancang melancong dan bercuti, saya pasti akan mengajak ayah. Dan ayah dengan cerianya, pasti menjawab , “boleh aja bha..”

Saya masih teringat jawapan ayah yang sangat terkesan di hati saya tatkala saya merungut tatkala kami merancang untuk bercuti ke Sabah, suami pula terpaksa mengeluarkan duit untuk repair kereta.

“Tak apa, duit “hilang” boleh diganti. Jangan nyawa” hilang”, tak dapat dicari ganti”.

Entah mengapa hati saya tenang.

Dan saya redha dengan “kehilangan” itu.

=================================

20 Februari 2016

10.50 malam

Ayah pengsan! Suami saya bingkas daripada katil setelah menerima panggilan telefon.

Kat mana?

Kluang.Ayah main bola, tiba tiba pengsan. Sekarang tengah CPR.

Allah!! Jangtung saya berdegup kencang.

Kita pergi Kluang sekarang!

 

Maka bertolaklah kami bersama ibu dan adik ipar ke Kluang dari Skudai pada tengah malam itu. Dengan perasaan yang bercampur baur, perjalanan kami sangat sepi. Hanya deruan angin malam di luar menemani. Sesekali saya menerima panggilan daripada teman ayah , memberi updates ke mana harus kami tuju.

Memang pada mulanya, kami diminta ke hospital Kluang. Namun apabila kami diminta menukar arah ke Stadium Kluang, hati semakin tidak keruan.

“Kenapa stadium kluang? Kenapa tak ke hospital? Ayah saya ok tak? sekarang tengah buat apa? CPR macam mana?” , tanya saya bertalu talu. Sementara suami memandu, saya bertindak menjawab panggilan telefon. Fateh masih lagi lena di pangkuan.

“Err.. susah nak cakap,”jawapan yang sangat tidak meyakinkan di hujung corong telefon.

“Kenapa susah nak cakap? Ayah kat mana sekarang?” desak saya .

“Ada lagi kat bilik,” tersekat sekat suaranya.

“Masih lagi dalam rawatan?” saya seolah olah membantunya menjawab soalan saya sendiri. Atau sebenarnya , saya sedang menyedapkan hati sendiri.

“Ya,, ya..” jawab teman ayah saya, dalam keadaan yang sangat meragukan.

Ahhh.. inshaallah ayah tak ada apa apa.

Saya menjeling jam , hampir 11. 30 malam.

Saya peluk Fateh kuat kuat. Saya cium dahinya.

Saya bertawakkal.

FATEH

====================================================================

 

21 Februauri 2016 :0130H

Ayah!!! Allahuakbar! Ayah! Bangun ayah! Ayah!!!

Sambil mendukung Fateh yang masih terpisat pisat bangun daripada tidur, dunia ini dirasakan gelap. Ibu dan adik-adik ipar sudah berpelukan menangis di sisi jasad itu.

Astaghfirullahalziiimmmm!!! Saya mengucap panjang sambil memegang tangan ayah yang sejuk.

Ternyata jangkaan saya meleset. Saya pada awalnya tersangat yakin ayah akan pulang ke rumah bersama kami seperti biasa, sambil bermain main dengan fateh. Mungkin paling tidak pun, ayah keletihan setelah bermain bola.

Ternyata, ayah memang benar benar letih. Letih hingga dia tidak mampu bangkit lagi. Sampai bila bila. Dan ayah tidak mampu lagi bermain dengan fateh. Hatta jika Fateh memanggil manggil namanya sekalipun.

Ini entah kematian ke berapa puluh kali yang pernah saya hadapi. Saya pernah menyaksikan keadaan mayat yang lebih tragis di hospital sepanjang kerjaya saya di hospital. Namun, demi Allah tiada satu pun lebih merentap hati seperti ini. Betapa remuknya hati menyaksikan pemergian ini.

Tanpa sebarang pesanan.

Tanpa sebarang petanda.

Tanpa salam terakhir.

Allah, betapa Engkau Maha penunai janji. Ya, Engkau benar benar menunaikan janji-Mu. Betapa kami tidak layak mencabar-Mu.

Malam itu terlalu sepi. Hanya sedu sedan menemani.

 

tumblr_n0zoeiz8kh1sn1j7jo1_1280

 

============================================

18 Mac 2016

 

 

“Tak apa, duit “hilang” boleh diganti. Jangan nyawa” hilang”, tak dapat dicari ganti”.

Ketika ungkapan ini ditujukan kepada saya tahun lepas, saya begitu tenang. Redha atas “kehilangan” wang dan kerosakan kereta suami.

Kini, kami kehilangan lagi. Kehilangan yang benar benar tidak dapat dicari ganti.

Sebulan berlalu, kehilangan itu masih dirasai.

 

Allahh…. Jika duit membayar untuk memiliki ayah kembali, kami sanggup bergolok gadai.

Namun, betapa benar katamu ayah.

Betapa kami tidak mampu mencari pengganti untuk menebusmu. Allah lebih berkehendakkan ke atasmu.

Ayah, esok ulang tahun hari jadi wani. Niat di hati memang teringin nak menyambutnya bersama keluarga kita dan ayah di sisi. Tetapi ayah kini berada dalam jagaan yang lebih baik.

Semasa hayatmu, ayah seperti matahari yang membakar diri dan berkorban menyara keluarga.

Setelah hayatmu bernoktah, dirmu umpama bintang.

Terlalu jauh tapi sinarmu tetap menyinari.

Bagaikan si bintang inspirasi.

Menerangi hati kami.

Inshaallah, walaupun pemergianmu masih terasa, akanku cuba untuk menceriakan keluarga ini.

 

 

Norshazwani Binti Othman, Selamat hari lahir . Sesungguhnya dirimu semakin mendekati mati.