Bukan malas bertanya, tetapi malas berfikir.

Hello & Salamun A’laikumQS -06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Hujung minggu sering dinanti-nantikan para pelajar terutamanya kami, pelajar perubatan di Moscow, Russia, kerana dapat berehat. Terhindar daripada kesibukan ibu kota, jadual waktu kuliah dan seminar yang padat. terpaksa berjalan jauh dari satu jabatan ke jabatan yang lain, sama ada dengan berjalan kaki mahu pun dengan kenderaan awam.

Dalam suasana pagi kira-kira jam lapan pagi, ketika matahari pagi menyinsing, cahayanya memasuki jendela dapur hostel Kahovskaya tingkat dua, memenuhi ruangan yang kosong, tambahan dengan sunyi sepi dari kawasan koridor, barangkali kebanyakan penghuni hostel mahu memuaskan nafsu tidurnya di hujung minggu ini.

Namun, ada seorang lelaki merupakan pelajar dari Malaysia terkecuali daripada membuaikan lenanya di atas katil, sedang menggoreng jemput-jemput kentang di dapur sebagai makanan sarapan paginya. Namanya Khairi.

Tatkala sedang seronok dan fokus menggoreng, tiba-tiba datang seorang sahabat dari tingkat empat, Raimi, menjengah kepalanya di pintu dapur kerana perasan Khairi di dalam dapur, “hui . . . tengah buat apa tu?” tiba-tiba bertanya.

Terkejut Khairi seolah-olah ingin melompat akibat datangnya suara yang dia kenali memecah suasana sunyi di kawasan tingkat dua itu. “La . . Raimi. Tengah memasaklah!”. Khairi tahu benar, jika Raimi ke tingkat dua, pasti dia akan ke bilik Roslan.

Pagi berlalu dengan tenang. Jam sudah menunjukkan jam sebelas pagi. Menjadi kebiasaan Khairi akan mengulangkaji selama sejam ketika itu. Kali ini dia membuka buku teks terapi. Sedang asyik menelaah buku tersebut, ketukan pintu menyusuli, lalu terbuka, “assalamualaikum, Khairi. Aku datang nak sikit jemput-jemput kentang tadi.” Raimi rupa-rupanya. “Ambillah atas meja tu, nasib baik ada lagi.”

“Yay~thank you. Khairi, engkau buat apa tu?” Khairi menggelengkan kepala, “ish ish ish. Engkau ni, tak kan lah tidak tahu aku sedang membaca buku.” Raimi tidak berkata apa-apa, tambahan dengan muka yang rasa tidak rasa bersalah.

“Raimi, aku tengok, engkau ni trolling kat aku lah!” “Eh, mana ada” , sahut Raimi. “Engkau tanya soalan kepada sesuatu yang engkau boleh tahu apa yang sedang aku lakukan.” “Errr. . .”, Raimi tidak tahu apa yang hendak di balas.

“Hum, mungkin engkau tidak perasan, bagi pendapat aku lah, kalau kita malas berfikir, kita akan tanya soalan bodoh. Aku tahu engkau cuba untuk bermesra denganku dengan melayanku melalui soalan-soalan engkau itu. But, I don’t like that kind of question. Malah, soalan-soalan itu merimaskan kerana aku terpaksa menjawab untuk sesuatu yang sudah jelas dan tidak perlu ditanya.”

“Hum. . .”, Raimi mengangguk. “Aku bagi tips supaya soalan-soalan tu nampak intelligent sikit. Contohnya, ‘masak apa tu?’ ‘buku apa yang engkau baca?’. Nah, dengan soalan-soalan sebegini, apabila aku menjawab, kita boleh membuka perbualan yang sedikit panjang dan lebih mesra. Seperti, ‘rajinnya masak jemput-jemput pisang, aku sarapan pisang sahaja’ ‘oh terapi, tahu tak drug apa yang dianjurkan oleh profesor kita tempoh hari bagi merawat bronchial asthma?’ “

“Hehehe. .maaflah, tak sangka itu boleh menyinggung perasaan seseorang”, ujar Raimi. “Barangkali tidak semua orang, namun aku suka kalau soalan itu boleh membawa kepada sedikit perbualan yang ada kualiti. Moga-moga dengan cara itu, sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi talian hati ke hati kita. Itu baru cool, betul tak?”

“Hum, betul juga!” Jawab Raimi, faham dengan apa yang dinasihatkan Khairi untuk memperbaiki teknik komunikasinya, malah itu mampu membawa kepada cara untuk bersosial dan berinteraksi dengan orang lain dengan lebih berkesan. Insha Allah.

Tamat.

Mesti baca : [motivasi] soalan bodoh? kenapa bertanya?

Musuh yang sering dilupakan.

| Siri “Menjadi muslim sejati” |
Bahagian : I | II | III | IV | V | VI | VII

Hello & Salamun A’laikumQS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Setiap saat kita bertarung dengan diri kita kerana berkehendakkan sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri. Pertarungan ini dinamakan sebagai “mujahidun li nafsi” (melawan hawa nafsu). Kadang-kadang kita tertewas, kadang-kadang juga menang. Pertarungan ini tidak akan selesai selagi nyawa dikandung badan.

Terdapat dua sahaja kecenderungan anak adam, sama ada ke arah yang baik atau buruk. Tiada sesiapa pun yang inginkan keburukan! Malah sedaya upaya unutk mencapai kebaikan dengan sanggup bersusah-payah berhempas-pulas menyempurnakannya demi pencapaian yang terbaik dari semasa ke semasa.

Allah berfirman dalam surah asy-Syams :

“Demi diri manusia dan penyempurnaan ciptaanya[7]. Maka Dia (Allah) mengilhamkannya (diri manusia) jalan kejahatan dan ketaqwaan[8]. Sungguh beruntung sesiapa yang menyucikan jiwanya (kerana memilih ketaqwaan)[10], dan sungguh rugi orang yang mengotorinya (dengan memilih kejahatan)[11].”

Kenali musuh-musuh sebenar.

Dalam peperangan, jika pihak lawan tidak mengenali musuh secara terperinci, bermakna, kebarangkalian untuk menang sangat tipis. Maka, dikerah dan ditugaskan para pengintip untuk menyeludup serta merisik kawasan musuh, dibongkarnya stratergi dan gerak-geri musuh. Dengan segala maklumat tersebut, maka persediaan pihak lawan dapat dilipat gandakan: rancangan diperhebatkan, stratergi dikemas kinikan dan segala peralatan kelengkapan disediakan sebanyak yang boleh demi sebuah kemenangan.

Begitu juga dengan pertempuran diri ini! Siapakah musuh sebenar yang selama-lamanya tidak akan wujudnya perdamaian? Musuh-musuh ini tidak dapat lihat dengan kaca mata kita, namun, sesungguhnya! Tidak kelihatannya itu menjadikan ia musuh paling bahaya dan licik pernah kita temui. Nah, kenalilah mereka!

1. Syaitan (ketuanya Iblis).

Iblis tidak akan henti-henti menggelincirkan anak Adam (manusia) daripada hidayah petunjuk Allah subhanahu wa taa’la. Sombong takburnya Iblis memandang rendah kepada manusia lantas berani melanggar perintah Allah untuk sujud kepada Adam, lalu jatuh hinalah ia termasuk ke dalam golongan yang kufur sesat, dan neraka Jahannam sudah ditempah awal-awal tempat ia kembali.

“aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus[16] surah al-A’raaf

“aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya[39] surah al-Hijr

Itulah janji Iblis kepada Allah.

Kerja ia hanyalah menghasut manusia dengan pelbagai cara, sehinggakan ada yang mengikutinya sebagai askar-askarnya dalam kerja menyesatkan manusia.

Para pengikutnya ini dinamakan syaitan. Tatkala kita bermujahadah menentang syaitan ini, di samping itu, mohonlah perlindungan daripada Allah pagi dan petang [surah an-Naas] :

Katakanlah: “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia[1].
Yang Menguasai sekalian manusia[2],Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia[3],
dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam[4],
yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia[6] dari kalangan jin dan manusia[7].”

Oh. Ternyata askar-askar Iblis yang dinamakan syaitan ini terdiri daripada jin dan manusia. Ya, MANUSIA tergolong juga. Oleh itu, AWAS! Berhati-hatilah, bahawa manusia yang berjiwa syaitan juga turut melakukan kerja Iblis seperti ia janjikan.

2. Nafsu.

Syaitan adalah makhluk Allah yang secara peribadinya mendatangi manusia untuk menghasut dan menyesatkan.

Cuba kita amati elok-elok. Manusia ini bukanlah terdiri hanya batang tubuh jasadnya sahaja. Sesungguhnya, dalam dirinya itu terdapat nafsu di mana ia merupakan keinginan-keinginan kepada apa-apa sahaja.

Keinginan-keinginan itu, alQuran menamakannya syahwat, cuma cakap-cakap kita dan kamus bahasa kita yang menterjemahkannya sebagai nafsu.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَتِ مِنَ النِّسَآءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَـطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ

وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأنْعَمِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَـعُ الْحَيَوةِ الدُّنْيَا وَاللهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَأَبِ

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diiginkan, berupa perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)[14].” surah ali Imran

Nafsu jikalau tidak dijinakkan, diri akan jadi payah untuk melawan dan kemenangan barangkali sangat jauh untuk kecapi. Nafsu ada tiga jenis :

(1) Amarah : jiwa yang tunduk kepada nafsu dan hasutan syaitan.
(2) Lawwamah : jiwa yang tertewas, jatuh terikut nafsu yang tercela itu akibat kelalaian dan cuai menurut perintah Allah serta meninggalkan laranganNya.
(3) Mutmainnah : jiwa yang tenang akibat nafsu yang telah dijinakkan.

Nafsu mutmainnah tanda kita yang mengawal nafsu. jika nafsu itu ingin ‘mengamuk’, lalu dengan mudah sahaja untuk menenangkannya kembali. Ini yang perlu dicapai oleh setiap individu!

Kesimpulannya, kenali dua musuh ini adalah penting! Wajib tahu! Ingatlah, barangkali musuh dalam kalangan kita (manusia) boleh dijauhi selama-lamanya. Namun, syaitan dan nafsu, akan sentiasa bersama-sama kita sehingga akhir hayat. Dua keadaan sahaja, sama ada menjadi musuh selama-lamanya dengan tidak jemu bertarung dengannya; ATAU meyambut baik ajakan dan tunduk kepadanya.

______________________________
Allahu taa’la a’lam.
Allah subhanahu wa taa’la Knows Best
______________________________


Jantung = Hati?

| Baca Artikel “Tadabbur Perubatan” |
Bahagian : I | II | III | IV | V

Hello & Salamun A’laikumQS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Secara amnya, jantung (heart) adalah organ yang sangat penting pada manusia. Barangkali seperti semua orang sudah tahu fungsi utama jantung adalah mengepam darah ke sistem saluran darah (blood circulatory system) manusia.

Jantung mempunyai empat ruang (four chambers). Dua di sebelah kanan dan dua lagi di sebalah kiri. Darah yang mengandungi karbon dioksida (deoxigenated blood) memasuki bahagian jantung di sebelah kanan kemudian dipam memasuki ke sistem peraliran darah dalam paru-paru (pulmonary/small circulatory system) manusia untuk membuang karbon dioksida dan mengambil oksigen ke dalam darah.

Darah yang mengandungi oksigen (oxigenated blood) daripada sistem saluran darah paru-paru itu memasuki bahagian kiri jantung, kemudian dipam ke sistem saluran darah yang besar (major circulatory system) terus ke organ-organ, tisu-tisu dan sel-sel.

Seperti apa yang diterangkan di atas, bermakna, salah satu fungsi jantung itu adalah mengepam serta menghantar oksigen kepada semua sel, tisu, organ dan sistem tubuh badan kita. Ya, oksigen itu sudah sedia maklum adalah sangat penting untuk kita hidup, sebab itu kita bernafas. Proses yang berlaku pada dalam tubuh badan kita ini bukti menunjukkan setiap sel badan juga hidup dan ‘bernafas’, atau lebih tepat memerlukan oksigen.

‘Serangan jantung’ (heart attack) adalah terma yang sering digunakan orang ramai tatkala melihat seseorang yang mula-mula nampak normal, kemudian tiba-tiba dia berubah mengadu kesakitan di dadanya, tangan mula seolah menekan-nekan dada untuk menahan kesakitan, badan menjadi lemah lau terasa ingin rebah ke bumi, seterus dan seterusnya.

Jantung juga memerlukan oksigen kerana ia juga adalah organ yang terdiri daripada sel-sel tisu yang membentuk otot-otot jantung (myocardium). Tatkala jantung mengepam darah beroksigen keluar dan dihantar ke seluruh tubuh badan, maka ke jantung itu sendiri tidak terkecuali. Terdapat dua saluran darah utama penting pada jantung untuk menhantar oksigen : right coronary artery dan left coronary artery [Lihat gambar: no.1 untuk kanan, no.2-3 untuk kiri]kredit. Kemudian daripada kedua-duanya itu bercabang menjadi saluran-saluran yang kecil.

Untuk memahami mengapa terjadinya serangan jantung, kita mestilah memahami apa itu artherosclerosis. Artherosceloris amnya adalah, pengumpulan kolesterol tidak baik (low density lipoprotein) dan sel darah putih macrophage di bawah lapisan saluran darah. Pengumpulan komponen-komponen ini, jika terlalu banyak akan menyebabkan lapisan salur darah mengembung dan menyempitkan lubang saluran darah. Ini akan menimbulkan masalah darah yang sampai ke sel-sel tisu tidak mencukupi.


Dari kiri: Normal ; Mild(ringan) ; Severe(parah)

Apabila artherosclerosis ini menjadi tidak stabil (unstable angina), tambahan dengan mengalirnya darah merentasi artherosclerosis itu dengan tekanan darah yang kuat (blood pressure), maka, artherosclerosis itu akan pecah. Ini mengakibatkan komponen-komponen di dalam artherosclesosis keluar dan memasuki saluran darah dan akhirnya bertukar menjadi gumpalan darah (blood clot / thrombosis).

*Untuk serangan jantung, elok untuk pembaca mengambil perhatian bahawa, artherosclerosis dan gumpalan darah yang kita bincang ini terjadi di saluran darah jantung iaitu right and left coronary arteries.

Gumpalan darah tadi akan merentasi saluran darah jantung mengikut arusnya sehingga sampai ke cabang yang sangat sempit, dan ini menyebabkan saluran darah menjadi tersumbat secara total. Sebagai akibatnya, darah beroksigen tidak dapat pergi ke sel tisu ke tempat yang telah tersumbat.

Bahagian tersumbat itu akan mengalami penderitaan tidak mendapat oksigen secara total. Maka, sel tisu jantung di situ tidak dapat hidup lalu sedikit demi sedikit ia  mati. Akibat kematian sel tisu jantung itu, menyebabkan terjejasnya fungsi jantung. Inilah dinamakan sebagai serangan jantung (heart attack) atau dalam perubatan dipanggil sebagai Myocardial Infarction (MI).

Secara kajian histology, proses kematian sel tisu yang merupakan masalah kepada jantung itu berlaku di dalam badan kita, sememangnya kita tidak nampak. Namun simptom-simptomnya di mana tertera pada tubuh badan dan fizikal, ternyata boleh kita nampak. Sebagai contoh, sakit dada (chest pain) yang teramat sangat, kesakitannya dan terasa lemah boleh merebak ke leher dan ke tangan terutamanya bahagian kiri; berpeluh; tidak cukup nafas, tercungap-cungap (shortness of breath); pening; muntah; terasa hendak pitam (loss of conciousness); dan lain-lain.

Rasulullah ﷺ ada bersabda [riwayat Bukhari dan Muslim] daripada Abu Abdullah an-Nu’man bin Basyir r.anhuma :

ألاَ وَإنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً

إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ

وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدَ كُلُّهُ

ألاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksud : ” . . ketahuilah dan sesungguhnya dalam badan manusia ada seketul daging; ketika ia baik, baiklah seluruh badan; dan ketika ia buruk, buruklah seluruh badan; ketahuilah ia adalah الْقَلْبُ “

قلب /qalb/ adalah kata nama yang boleh membawa dua maksud. Pertama, secara anatomi bermaksud jantung yang ada dalam badan kita. Kedua, secara simbolik bermaksud hati (tetapi bukan liver = hati), iaitu terletaknya perasaan, emosi, spiritual dan lain-lain berbentuk abstrak (iaitu tidak nampak, meskipun dibedah dan mencari).

Secara jujur, kedua-duanya mempunyai kaitan yang sangat sinonim apa yang dimaksudkan oleh Baginda ﷺ. Seperti yang dimaklumkan dalam penulisan ini, jika diertikan sebagai jantung, maka tepatlah maknanya seperti apa yang penulis terangkan dari awal lagi.

Jika dimasukkan dengan maksud sebagai hati, juga sangat tepat. Ternyata, hati adalah tempat letaknya ikhlas. Keikhlasan adalah suatu yang sangat tinggi nilainya yang kemudian diterjemahkan ke bentuk fikrah dan perbuatan, tergambar akhlak yang sangat terpuji.

Manakala bertentangan dengannya adalah tidak ikhlas. Ini adalah suatu yang sangat buruk dan tercela. Apabila diterjemahkan pada luaran, ternyata sangat jelik akhlaknya. Sebagai contoh (kebiasaannya), takbur (sombong), ujub (bangga diri), suma’h (suka dipuji), dan riyak (suka dilihat).

Nauzubillahi min zalik. Mohon perlindungan Allah daripada semua itu.

Baca tentang kaitan hati dengan niat serta ikhlas di sini

Wallahu taa’la a’lam.

< Sebelumnya | Baca Artikel “Tadabbur Perubatan” | Selepasnya >

Pengajaran daripada Abdullah bin Jahsy r.a.

Hello & Salamun A’laikumQS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Abdullah bin Jahsy r.a.

Abdullah bin Jahsy bin Riab bin Ya’mur al-Asdy termasuk golongan assabiqun al-awwalun (golongan awal memeluk islam) sebelum adanya markas di rumah Arqam bin abi al-Arqam. Beliau adalah sahabat dan sepupu kepada nabi Muhamad ﷺ melalui ibu saudaranya Umaimah binti Abdul Mutalib yang merupakan adik-beradik kepada bapa Baginda ﷺ , Abdullah bin Abdul Mutalib. Selain itu, Baginda ﷺ juga merupakan adik ipar kepada Abdullah bin Jahsy kerana Baginda ﷺ mengahwini adik beliau iaitu Umul Mukminin Zainab binti Jahsy.

1.Hijrah.
Penghijrahan Abdullah bin Jahsy ke Madinah merupakan orang kedua selepas Abu Salamah, di mana ketika itu para sahabt diizinkan Baginda ﷺ untuk berhijrah.

Sebelum itu, Abdullah bin Jahsy bersama-sama isteri dan anak-anak pernah mengikuti hijrah ke Habsyah sejak dakwah nabi Muhamad ﷺ secara terang-terangan berlansung lalu penindasan dan tekanan ke atas kaum muslimin menjadi-jadi daripada puak Quraisy.

Selepas peristiwa hijrah ke Madinah, seluruh kawasan bani Jahsy dirondai oleh Abu Jahal dan Utbah bin Rabia’h untuk menngetahui sesiapa yang pergi dan tinggal. Kemudian, selepas didapati rumah Abdullah bin Jahsy yang agak mewah itu tidak berpenghuni, Abu Jahal menjadi alih dengan memilikinya.

Berita ini telah sampai kepada Abdullah bin Jahsy di Madinah. Beliau sedih dan mengadu kepada Rasulullah ﷺ , lalu Baginda ﷺ menenangkan Abdullah bahawa beliau akan mendapatkan rumah di syurga kelak.

2. Abdullah bin Jahsy adalah Amirul Mukminin yang pertama.
Beliau ditugaskan Baginda ﷺ ditempatkan dalam satu pasukan (lapan orang termasuk Saad bin Abi Waqas) untuk mengintip dan merisik musuh.

Pada pandangan beliau dengan terbentuknya pasukan itu, ia mampu untuk berperang menentang musuh. Namun, itu bukan yang tugaskan oleh Rasulullah ﷺ. Maka, Abdullah bin Jahsy dilantik menjadi amir (ketua pasukan) dan menyerahkan panji pertama islam (yang diikat pada tongkat Baginda ﷺ), dan menggelar beliau sebagai amirul mukminin (ketua orang-orang beriman).

Rasulullah ﷺ menyerah sepucuk surat; Abdullah bin Jahsy dikehendaki membuka dan membacanya selepas dua hari perjalanan.

Isi kandungan surat itu : “teruskanlah perjalanan ke Nakhlah (terletak antara Thaif dan Mekah); hendaklah mengamati gerak-geri Quraisy dan laporkan kepadaku.”

Ketibaan pasukan itu di Nakhlah, mendapati satu kafilah Quraisy terdiri daripada empat orang iaitu : Amr bin Hadhramy, Hakam bin Kaysan, Uthsman bin Abdullah serta Mughirah bin Abdullah; membawa barang dagangan (kulit, anggur dan lain-lain).

Abdullah bin Jahsy ber-syura/mesyuarat dengan ahli-ahli pasukan sama ada menyerang mereka atau tidak. Faktor yang diambil kira untuk menentukan keputusan iaitu :

  • (1) Tarikh ketika itu terletak pada akhir bulan haram; jika serang, akan melanggar kehormatan bulan itu dan menimbulkan kemarahan bangsa arab.
  • (2) Jika ditunggu, kafilah Quraisy itu akan memasuki tanah haram dan penyerangan tidak dibenarkan.

Akhirnya keputusan syura bersepakat untuk menyerang. Hasilnya, seorang tewas terbunuh; dua orang ditawan; seorang dapat melarikan diri; harta dirampas dan dibawa pulang ke Madinah.

3. Setelah pulang ke Madinah.
Abdullah bin Jahsy dan pasukannya dimarahi Rasulullah ﷺ kerana bertindak di luar arahan.

Rasulullah ﷺ menangguhkan keputusan untuk dikenakan ke atas pasukan itu, tawanan dan harta rampasan.

Situasi menjadi semakin parah di mana Quraisy mengambil kesempatan menyebarkan berita memburukkan islam dan nabi Muhamad ﷺ kerana melanggar kehormatan bulan haram lalu menghalalkan pertumpahan darah dan merampas harta.

Abdullah bin Jahsy dan pasukannya berasa sedih, sesal dan tercela sehingga tatkala berjumpa dengan kaum muslimin, mereka berkata : “mereka adalah orang-orang yang melanggar perintah Rasulullah .” Itulah yang diterima dan ditanggu sedangkan masih menunggu keputusan daripada Allah subhanahu wa taa’la dan RasulNya ﷺ.

Akhirnya turunlah wahyu, merupakan satu ayat yang membawa berita gembira yang berpihak kepada keputusan syura dan tindakan Abdullah bin Jahsy dan pasukannya :

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah : ‘Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kufur kepada Allah, (menghalangi memasuki) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh.’

Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran) seandainya mereka sanggup.

Barang siapa yang murtad di anatara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. “ [surah al-Baqarah : 217]

Maka, orang ramai berjumpa Abdullah bin Jahsy serta ahli-ahli pasukannya , memeluk erat-erat, mengucapkan selamat dan membacakan ayat suci al-Quran tadi.

Lalu, Rasulullah ﷺ redha pada mereka. Harta rampasan di ambil dan diletakkan di Baitul Mal; dan dua tawanan dibenarkan untuk dibebaskan.

Harta rampasan itu adalah harta rampasan pertama dalam sejarah islam. Musuh yang dibunuh adalah musyrik yang pertama tumpas di dalam sejarah islam. Bendera pasukan mereka merupakan panji pertama yang digunakan dalam islam.

4.Kewafatan Abdullah bin Jahsy.
Beliau syahid di medan peperangan Uhud.

Dalam peperangan itu, Saad bin Abi Waqas dan Abdullah bin Jahsy berdoa di tempat yang terpencil;

Doa Saad bin Abi Waqas : “Ya Allah, pertemukan daku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berikanlah daku kemenangan!”

Doa Abdullah bin Jahsy : “Ya Allah, pertemukan daku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan aku tewas di tangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku.”

Ternyata Allah subhanahu wa taa’la memaqbulkan doa Abdullah bin Jahsy. Dia melawan musuh dengan mengharapkan syahid, lalu tumpas; di penghujung peperangan Uhud, mayat-mayat para syuhada’ dicacatkan oleh tentera musyrikin, dan Abdullah bin Jahsy termasuk dalam kalangan mayat yang dicacatkan itu.

Beliau syahid bersama Hamzah bin Abdul Mutalib, dan dikuburkan bersama dalam satu lubang kubur.

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah hidup Abdullah bin Jahsy :

1. Taat.

Ketaatan kepada arahan dan perintah ketua mestilah tidak berbelah bagi dan jangan dilanggar.

2. Syura.

Membuat suatu keputusan dalam pasukan / jemaah mestilah dengan bermesyuarat antara ketua dan ahli-ahlinya, lalu memutuskan satu keputusan akhir.

Keputusan itu mestilah diyakini serta faham dan bersedia menghadapi risiko akan kesannya sama ada baik atau buruk.

3. Pengorbanan dunia kerana akhirat lebih mulia.

Pada suatu ketika, kita pasti akan menghadapi satu situasi yang menyebabkan mengambil keputusan terhadap harta dunia kita, di mana terpaksa ditinggalkan / dikorbankan.

Ini adalah keputusan yang sangat berat, tetapi untuk tujuan dakwah dan islam, kita mengaharapkan keredhaan Allah dan syurgaNya adalah suatu prioriti / yang utama. Sesungguhnya, untuk mendapatkan yang terbaik (syurga) itu mahal harganya (iaini pengorbanan dan usaha kita).

4. Reaksi masyarakat terhadap mereka yang telah melakukan kesilapan.

Kesilapan dan dosa yang dilakukan itu memang dibenci dan dicela oleh sesiapa sahaja. Namun daripada kisah ini, penyesalan sahabat terhadap kesilapan itu sangat terasa dan mendalam.

Setelah bertaubatnya orang-orang yang berbuat silap atau dosa; terimalah mereka kembali kerana dosa itu dengan izin Allah akan diampunkan. Sungguh Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Usah dipanjang-panjangkan sikap dingin kepada orang yang sudah bertaubat. Mereka itu adalah saudara semuslim. Contohilah seperti dalam kisah ini.

Kredit :
Sumber 1 | Sumber 2

Allahu Taa’la A’lam.